...Demi Negara Yang Tercinta, Dicurahkan Bakti Penuh Setia, Demi Raja Yang Disanjung Tinggi, Kesetiaan Tak Berbelah Bagi...

Sultan Kelantan Jalani Rawatan Fisioterapi Di Istana

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra mula menjalani rawatan fisioterapi susulan di Istana Mahkota di sini sejak pulang dari Singapura Khamis lalu.
Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkata, ayahandanya akan menjalani rawatan tersebut selama 2 jam pada setiap petang.

“Dengan kemudahan yang disediakan, Baginda Sultan menjalani proses rawatan fisioterapi melalui bimbingan seorang pakar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II.

“Rawatan tersebut akan diteruskan di Istana Mahkota sehingga Baginda Sultan kembali pulih sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rawatan berbentuk latihan fisioterapi itu membantu seseorang kembali ke tahap fungsi fizikal sebenar dengan tumpuan utama kepada pergerakan terkawal dan seimbang.

Sultan Ismail Petra pulang ke Kelantan setelah melalui rawatan selama lebih sembilan bulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Baginda yang mengalami masalah jantung dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada 14 Mei tahun lalu dan menerima rawatan susulan di Singapura sejak 24 Mei tahun yang sama.
Tengku Muhammad Fakhry berkata, sejak kembali ke kediaman rasmi, Baginda Sultan semakin gembira dan akan dibawa keluar ke pekarangan istana setiap petang untuk menikmati keindahan kawasan persekitaran.

“Baginda Sultan sudah terlalu lama duduk di hospital sebab itu sejak kembali ke sini, Tuanku suka keluar ke halaman untuk melihat bunga dan burung peliharaan Baginda.

“Setiap hari juga ada Kerabat Diraja datang, begitu juga Pembesar-Pembesar Negeri melawat tuanku,” jelasnya.

*Gambar Ihsan Rizal Tahir


The author's view does not represent the views of NegaraKita.com.

Please visit author's blog as a support to the author's work.

Back
Copyright 2008-2015 ©

MyWISE.org. All rights reserved

.
Mukasurat ini dihasilkan dalam 0.05575 saat.