...Demi Negara Yang Tercinta, Dicurahkan Bakti Penuh Setia, Demi Raja Yang Disanjung Tinggi, Kesetiaan Tak Berbelah Bagi...

Lapor Berita Berasaskan Fakta - PM

nb

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, media arus perdana amat berbeza dengan aliran media baru kerana penyiaran setiap beritanya adalah berasaskan fakta.

Beliau berkata, walaupun media arus perdana ada menyiarkan pandangan atau pendapat daripada pihak tertentu dalam beritanya tetapi ia masih berasaskan fakta.

Katanya, berbanding aliran media baru, berita yang disajikan mereka hanya berasaskan pendapat individu semata-mata tanpa perlu merujuk kepada fakta sebenar.

“Akibatnya berita yang disajikan oleh aliran media baru seperti di blog dan di laman web, ada kalanya tidak benar atau separuh benar. Berbeza dengan media arus perdana, ia menjadikan fakta sebagai panduan.

“Oleh itu, berita yang disiarkan oleh media arus perdana lebih tepat kerana ia masih berpandukan kepada fakta yang tidak boleh disangkal.

“Berita-berita seperti ini sebenarnya amat dituntut dalam masyarakat kita,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di sini hari ini.

Kunjungan Perdana Menteri ke ibu pejabat NSTP turut disertai isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir Pengerusi NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaafar; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan ketua-ketua pengarang daripada penerbitan lain.

Kehadiran lebih 500 kakitangan NSTP turut memeriahkan program berbuka puasa tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib mahu rakyat bijak menilai berita yang berpandukan fakta atau sebaliknya.

Beliau berkata, antaranya masyarakat harus lebih berhati-hati terutama ketika membaca berita yang diperoleh daripada media baru.

“Perkara ini penting kerana kita mahu masyarakat kita tidak mudah terpengaruh dengan berita yang disiarkan tanpa fakta yang tepat.

“Hakikatnya untuk menyiarkan berita di blog atau laman web tidak begitu sukar malah dengan cara ‘one man show,’ ia masih boleh dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri meminta media arus perdana terus menyajikan berita-berita berasaskan fakta supaya masyarakat menerima maklumat tepat dan bermanfaat.

Dalam ucapannya, Najib sekali lagi memberi komitmen untuk merealisasikan transformasi yang besar bagi negara.



The author's view does not represent the views of NegaraKita.com.

Please visit author's blog as a support to the author's work.

Back
Copyright 2008-2015 ©

MyWISE.org. All rights reserved

.
Mukasurat ini dihasilkan dalam 0.05491 saat.